Logo burung biru ikonik Twitter dari ibu pejabat syarikat di Market Square, San Francisco kini dilelong. Lelongan oleh RR Auction ini telah menerima bidaan melebihi USD 21,000 (sekitar RM 100,000) dan dijangka meningkat menjelang tarikh akhir pada 20 Mac 2025.
Logo bersaiz 12 kaki tinggi dan 8 kaki lebar yang dikenali sebagai “Larry the Bird”, dinamakan sempena legenda bola keranjang Larry Bird. Simbol ini pernah menjadi ikon utama Twitter sebelum syarikat itu dijenamakan semula sebagai “X” oleh Elon Musk pada 2023. Selepas pengambilalihan oleh Musk, banyak perubahan dilakukan termasuk penjenamaan dan lelongan aset pejabat lama.
Selain logo burung biru ini, perabot dan peralatan pejabat lain turut dilelong dalam usaha mengurangkan kos operasi. Bidaan bagi logo ini berpotensi mencecah USD 40,000 sebelum lelongan berakhir. Pemenang bidaan perlu menguruskan pemindahan logo yang beratnya dianggarkan sekitar 560 paun (254 kilogram).
Lelongan ini adalah sebahagian daripada acara “Steve Jobs and the Apple Revolution” yang turut menampilkan barang berharga lain seperti cek Apple yang ditandatangani Steve Jobs dan komputer Apple I yang masih berfungsi. Dengan berakhirnya era burung biru, lelongan ini menjadi simbol peralihan besar dalam sejarah Twitter yang kini dikenali sebagai “X”.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: RR Auction

