Site icon TechNave BM

LRT3 akhirnya beroperasi, tambang percuma selama sebulan!

Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam yang mula beroperasi secara rasmi hari ini dijangka merekodkan antara 5,000 hingga 10,000 penumpang pada hari pertama yang menjadi petanda awal kepada penerimaan pengguna terhadap laluan baharu tersebut.

Jumlah itu sudah dianggap sebagai pencapaian yang baik memandangkan hari pertama operasi berlangsung pada hari bekerja serta ketika sesi persekolahan masih berjalan. Pengguna berkemungkinan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan laluan dan corak perjalanan baharu.

Tinjauan media sempena hari pertama operasi di stesen Glenmarie 2 turut menunjukkan orang ramai mula menggunakan perkhidmatan tersebut bagi perjalanan harian mereka. Laluannya dilihat sebagai antara projek pengangkutan awam paling dinantikan selepas melalui beberapa fasa penjadualan semula sebelum siap sepenuhnya tahun ini.

Sebagai galakan awal penggunaan, kerajaan juga mengumumkan tambang percuma selama sebulan bermula 29 Jun hingga 31 Julai 2026 untuk semua penumpang LRT3. Untuk rekod, LRT3 Laluan Shah Alam mempunyai panjang sekitar 37.8 kilometer dan menghubungkan kawasan utama seperti Bandar Utama, Shah Alam dan Johan Setia selain menjadi sebahagian daripada rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang yang diperluaskan.

Kapasiti laluan ini juga dilaporkan mencukupi untuk menampung permintaan pengguna sehingga tahun 2040. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version