Site icon TechNave BM

Lupakan dompet anda, Tesco bakal melancarkan Scan & Shop di semua cawangannya

rpt

Selari dengan pendigitalan pelbagai aspek di Malaysia, termasuklah dari segi urusan pembayaran, kini Tesco juga tampil dengan Scan & Shop yang lebih mesra digital. Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) bersedia untuk melancarkan aplikasi Scan & Shop ke semua cawangannya dalam masa separuh pertama tahun ini.

Sebenarnya, aplikasi Scan & Shop ini telah tersedia di 59 cawangan Tesco daripada 60 cawangan Tesco secara keseluruhan. Cawangan Tesco yang berbaki iaitu Tesco Extra Selayang juga bakal menerima perkhidmatan aplikasi ini menjelang bulan Jun 2020.

“Penyelidikan pasaran kami sendiri telah menunjukkan bahawa pelanggan mempunyai kehidupan yang sangat sibuk dan membeli-belah untuk keperluan harian telah menjadi tugasan yang tidak digemari. Kini, para pelanggan ingin mencari barangan yang mereka inginkan dan menyelesaikan perbelanjaan mereka secepat mungkin,” kata Pengarah Pelanggan Tesco, Vivian Yap.

Sepintas lalu, aplikasi Scan & Shop membenarkan anda mengimbas sendiri barang-barang tersebut di aplikasi. Kemudian anda boleh terus ke Kaunter Layan Diri/Kaunter Tunai dengan kod bar yang tersedia di aplikasi tanpa perlu imbas kembali barang-barang anda. Mudah bukan? Anda juga boleh merancang pembelian dan menjimatkan wang dengan menyemak dahulu harga melalui aplikasi ini. Bukan itu sahaja, semua cawangan Tesco juga menerima kad debit dan kredit serta tujuh e-dompet berbeza iaitu AliPay, Boost, GoodKredit, GrabPay, Kiple, Mcash dan TnG Digital untuk lebih memudahkan anda.

Adakah anda pernah menggunakan perkhidmatan Scan & Shop di Tesco? Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version