Site icon TechNave BM

MacBook Neo tiba sebagai komputer riba Apple paling murah, harga bermula RM2,499

Terbaharu, Apple secara rasmi memperkenalkan MacBook Neo sebagai komputer riba paling murah yang pernah mereka tawarkan. Ia dikuasakan cip A18 Pro dengan RAM 8GB serta pilihan storan 256GB atau 512GB. Paparan Liquid Retina 13 inci menawarkan resolusi 2408×1506 dengan tahap kecerahan mencecah 500 nits.

Binaan aluminium seberat 1.22kg ditawarkan melalui empat pilihan warna iaitu blush, indigo, silver, dan citrus. Bateri pula mampu bertahan sehingga 16 jam bagi penggunaan pelayaran web biasa. Beberapa ciri siri MacBook Air ditiadakan bagi mengurangkan kos pengeluaran. Papan kekunci Magic Keyboard tidak mempunyai lampu latar manakala pad sentuh tidak menyokong fungsi Force Touch.

Pengesahan biometrik Touch ID pula hanya tersedia bagi model storan 512GB. Spesifikasi lain termasuk kamera FaceTime HD 1080p, pembesar suara sisi berkembar dengan Audio Spatial, WiFi 6E dan Bluetooth 6.0. Harga jualan di Malaysia bermula daripada RM2,499 bagi varian 256GB dan RM2,899 bagi varian 512GB.

Pelajar dan kakitangan pendidikan boleh membeli peranti tersebut pada harga bermula RM2,099 melalui tawaran pendidikan Apple. Tempahan kini dibuka melalui laman rasmi manakala ketersediaan bermula 11 Mac 2026. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version