Apple berkemungkinan besar akan membawa ciri sambungan 5G terbina pada MacBook, satu fungsi yang telah lama diminta oleh pengguna yang mahu bekerja tanpa bergantung pada Wi-Fi atau hotspot mudah alih.
Berdasarkan kebocoran kod dalaman Apple, syarikat itu kini sedang menguji sebuah MacBook Pro yang belum dilancarkan, dilengkapi cip generasi baharu M5 Pro dan modem 5G di dalamnya. Menariknya, modem tersebut, dengan kod nama “Centauri” adalah cip 5G pertama buatan Apple sendiri sama seperti yang diperkenalkan pada iPhone 16e awal tahun ini.
Penggunaan modem 5G buatan sendiri menunjukkan usaha berterusan Apple untuk mengawal ekosistem perkakasan dan perisian mereka bagi prestasi dan kecekapan maksimum. Dengan gabungan cip M5 Pro dan modem 5G dalaman, Apple berpotensi menawarkan pengalaman yang lebih lancar dan jimat kuasa berbanding menggunakan komponen pihak ketiga. Ini bakal menjadi perubahan besar bagi barisan MacBook, yang selama ini bergantung sepenuhnya pada sambungan Wi-Fi.
Khabar angin menyatakan MacBook Pro M5 mungkin dilancarkan seawal tahun 2026, walaupun tiada jaminan ciri 5G ini akan hadir pada model akhir. Ada kemungkinan teknologi ini akan diperluas ke MacBook Air, namun ia dijangka kekal eksklusif kepada model Pro pada peringkat awal. Jika menjadi kenyataan, MacBook 5G akan memberi kebebasan kepada pengguna untuk bekerja di mana sahaja, satu lonjakan besar dalam aspek mobiliti dan kemudahan yang mampu mengubah cara MacBook digunakan.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Android Headlines

