Site icon TechNave BM

Mahkamah AS arah Meta dan Google bayar RM28 juta, didakwa buat remaja ketagih media sosial

Mahkamah di Los Angeles memutuskan bahawa Meta dan Google bertanggungjawab atas ketagihan media sosial yang dialami seorang wanita muda sejak kecil dalam satu keputusan yang dianggap bersejarah di Amerika Syarikat. Wanita berusia 20 tahun yang dikenali sebagai Kaley berjaya memenangi saman selepas juri mendapati platform mereka dibina secara sengaja untuk menjadi ketagihan dan menjejaskan kesihatan mental.

Juri memerintahkan ganti rugi sebanyak AS$6 juta (~RM28 juta) kepada Kaley termasuk AS$3 juta pampasan dan AS$3 juta ganti rugi selepas mendapati syarikat tersebut bertindak dengan “niat jahat, penindasan atau penipuan” dalam cara platform mereka dikendalikan. Mengikut keputusan, Meta perlu menanggung 70% daripada jumlah pampasan manakala Google menanggung baki 30%.

Kedua-dua syarikat bagaimanapun menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan akan memfailkan rayuan. Dalam perbicaraan selama lima minggu, tumpuan utama diberikan kepada platform seperti Instagram dan YouTube. Kaley memberi keterangan bahawa dia mula menggunakan Instagram seawal usia sembilan tahun dan YouTube pada usia enam tahun tanpa sebarang sekatan umur.

Menurutnya, penggunaan berlebihan menyebabkan dia menjauhkan diri daripada keluarga serta mengalami kebimbangan dan kemurungan sejak umur 10 tahun. Dia juga didiagnosis dengan Body Dysmorphic Disorder selepas terlalu obses terhadap penampilan diri akibat penggunaan penapis wajah dalam aplikasi.

Peguam Kaley memberi hujah bahawa ciri seperti “infinite scroll” pada Instagram direka untuk meningkatkan ketagihan manakala syarikat teknologi mensasarkan pengguna muda bagi memastikan mereka terus menggunakan platform tersebut dalam jangka masa panjang.

Kes ini berlaku ketika beberapa negara termasuk Australia dan United Kingdom sedang mempertimbangkan atau melaksanakan sekatan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BBC

Exit mobile version