Site icon TechNave BM

Mahkamah Brazil arahkan Apple bayar ~RM4,640 kepada pelanggan kerana tidak sertakan pengecas iPhone

Sejak Apple memutuskan untuk tidak menyertakan pengecas dalam kotak iPhone 12, syarikat teknologi itu dilanda pelbagai kontroversi kerana masih terdapat ramai pelanggan yang menginginkan aksesori itu untuk turut disertakan bersama telefon mereka.

Kini, seorang hakim di Goiânia, Brazil juga berpendapat sedemikian. Mahkamah bandar itu memutuskan bahawa Apple telah melanggar undang-undang perlindungan pengguna Brazil dan syarikat itu perlu menyediakan pampasan setimpal kepada seorang pelanggan kerana tidak menyertakan pengecas bersama iPhone miliknya.

Menurut hakim Vanderlei Caires Pinheiro, undang-undang pengguna negara itu (CDC) mewajibkan sebuah telefon untuk disertakan bersama pengecasnya. Ia masih dibenarkan untuk dijual secara berasingan, selagi penjualan itu tidak diwajibkan bagi membenarkan telefon itu untuk berfungsi sepenuhnya.

Beliau menyifatkan tindakan Apple itu sebagai “married sale”, di mana pelanggan terpaksa membelanjakan wang tambahan untuk membeli sebuah pengecas selepas memiliki telefon tersebut. Penjualan ini telah “diwajibkan” oleh Apple kerana sebuah pengecas perlu dimiliki untuk menggunakan iPhone sepenuhnya.

Susulan daripada keputusan mahkamah itu, Apple diarahkan untuk membayar pampasan sebanyak BRL5,000 (~RM4,640) kepada seorang pelanggan yang telah memfailkan aduan berkenaan.

Apple sering didenda oleh mahkamah Brazil kerana tidak menyertakan pengecas dalam kotak iPhone. Sebelum ini, mereka pernah didenda sebanyak BRL10.5 juta (~RM7.85 juta) kerana masalah yang sama.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Apple Insider

Exit mobile version