Site icon TechNave BM

Majoriti besar komputer masih belum menaik taraf kepada Windows 11

Menurut firma pengurusan aset IT antarabangsa Lansweeper, jutaan pengguna komputer Windows di seluruh dunia masih enggan menaik taraf kepada sistem operasi terbaru Windows 11, meskipun ia ditawarkan sebagai naik taraf yang percuma.

Data terbaru daripada firma tersebut yang menyelidik lebih 10 juta komputer Windows, mendapati bahawa Windows 10 masih lagi digunakan secara meluas. Malah, Windows 11 adalah sistem operasi yang kelima paling popular di seluruh dunia, dikalahkan oleh Windows XP (3.62%) dan Windows 8 (0.95%).

Salah satu punca trend ini adalah mungkin kerana majoriti komputer tidak mampu menyokong keperluan sistem (system requirements) oleh Windows 11. Selain itu, ramai pengguna masih mengekalkan sistem operasi yang telah ditamatkan (End of Life) seperti Windows XP dan Windows 7.

Microsoft telah menamatkan sokongan untuk Windows XP pada 2014 dan Windows 7 pada 2020. Lansweeper menasihatkan kepada pengguna yang masih kekal dengan dua sistem operasi tersebut untuk segera menaik taraf komputer mereka supaya tahap keselamatan siber mereka boleh ditingkatkan dan mengurangkan risiko godaman (hacking).

Adakah anda sudah menggunakan Windows 11? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: TechRadar

Exit mobile version