Site icon TechNave BM

Maklumat rekaan Samsung Galaxy S25 Edge tertiris, mungkin senipis 5.84mm

Samsung bakal melancarkan varian baharu dalam siri Galaxy S pada bulan depan iaitu Samsung Galaxy S25 Edge yang mempunyai badan lebih nipis berbanding varian Galaxy S25 yang lain. Syarikat teknologi Korea Selatan ini telah menunjukkan telefon ini secara ringkas sewaktu melancarkan siri Galaxy S25 pada Januari lalu, namun maklumat spesifik mengenainya masih tidak diketahui.

Menurut pengkhabar teknologi Ice Universe, Galaxy S25 Edge mempunyai skrin berukuran 6.656 inci yang serupa dengan Galaxy S25+ (6.7 inci). Sungguh pun begitu, sempadan bezel di semua sisi adalah lebih nipis berbanding Galaxy S25+, malah sama seperti Galaxy S25 Ultra.

Daripada segi ketebalan, Galaxy S25 Edge mungkin mempunyai ketebalan 5.84mm sahaja. Sebagai rujukan, Galaxy S25 mempunyai ketebalan 7.2mm, Galaxy S25+ setebal 7.3mm dan Galaxy S25 Ultra setebal 8.2mm.

Untuk berat pula, telefon ini mempunyai berat sekitar 162 gram, sama dengan Galaxy S25 standard. Sungguh pun begitu, harganya dijangka sama dengan Galaxy S25+.

Spesifikasi dalaman telefon ini masih tidak diketahui, namun ia dijangka akan turut dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite seperti varian Galaxy S25 yang lain. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version