Site icon TechNave BM

Malaysia akan mulakan sistem MyKad baharu, namun anda tidak perlu gantikannya dalam masa terdekat

Kerajaan Malaysia akan memulakan fasa perubahan kepada sistem MyKad baharu dengan fungsi keselamatan dan pengesahan digital yang dipertingkat. Meskipun begitu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata orang ramai tidak perlu bergesa-gesa menukarkan MyKad sedia ada kepada MyKad baharu.

Perubahan MyKad ini akan dilakukan dalam empat fasa, bermula dengan pengilangan dan menghasilkan bekalan kad baharu. Kemudian, JPN akan mengeluarkan MyKad baharu kepada pemohon baharu dan kes-kes gantian kad.

Hanya dalam fasa ketiga dan keempat, selepas kebanyakan perkhidmatan awam dan swasta mula menggunakan sistem pengesahan digital berdasarkan QR, penggunaan MyKad baharu ini jadi lebih meluas dan bakal diwajibkan jkepada orang ramai.

MyKad baharu ini mempunyai fungsi pengesahan kod QR yang membenarkan semakan identiti dengan pantas dan selamat, bagi memudahkan agensi kerajaan dan perniagaan dalam mengesahkan identiti individu.

Selain itu, kad identiti baharu ini dibuat dengan keselamatan yang lebih tinggi, cip yang lebih canggih, penyulitan lebih kukuh, butiran yang diukir dengan laser, pencetakan yang lebih selamat dan dilengkapi ciri-ciri anti pemalsuan.

Ini merupakan langkah-langkah meluas untuk mengelakkan pemalsuan, penipuan identiti dan penyalahgunaan data peribadi, dalam dunia yang semakin bergantung dengan pemeriksaan identiti digital.

Dengan menyeragamkan sistem MyKad kepada sistem identiti antarabangsa yang lebih selamat dan diiktiraf, kerajaan ingin meningkatkan keselamatan untuk orang ramai dan mengukuhkan kepercayaan dalam pengesahan identiti rasmi.

Buat masa ini, MyKad sedia ada masih layak dipakai sehinggalah tarikh yang ditentukan oleh kerajaan, atau sehingga anda perlu gantikan kad. Anda perlu gantikannya jika ia melepasi tarikh luput, rosak, hilang atau anda sendiri ingin gantikannya.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Star

Exit mobile version