Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengumumkan bahawa mereka bakal membenarkan pembayaran zakat menggunakan aset digital, lantas menjadikan Malaysia negara pertama yang menawarkan kemudahan tersebut untuk pembayaran zakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hakim Amir Osman, ini merupakan inisiatif untuk membimbing umat Islam tentang tanggungjawab zakat dalam era mata wang kripto serta menyediakan kaedah pembayaran yang lebih eifisien.
Memandangkan nilai aset digital yang dimiliki rakyat Malaysia sudah pun mencecah RM16 bilion, ia wajib dizakatkan. Jika dilihat dalam golongan pelabur berumur 18 hingga 34 tahun pula, sekitar 54.2 peratus daripada mereka mempunyai penglibatan dalam dunia kripto.
Sewaktu Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan ke-134, mereka memutuskan bahawa mata wang digital adalah komoditi yang diniagakan dengan zakat perniagaan yang dikeluarkan pada kadar 2.5 peratus.
Mereka telah menyaksikan kutipan zakat untuk aset digital telah meningkat sebanyak 73 peratus, daripada RM25,983.91 pada 2023 kepada RM44,991.97 untuk tahun ini.
Adakah anda akan membayar zakat menggunakan mata wang kripto? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Buletin TV3

