Site icon TechNave BM

Malaysia raih tempat ke-4 dalam pertandingan PUBG Mobile Super League SEA Spring 2024

Dalam peringkat akhir untuk pertandingan e-sukan antarabangsa PUBG Mobile Super League (PMSL) SEA Spring 2024 yang berlangsung di Tropicana Gardens Mall, Kuala Lumpur semalam, pasukan tempatan Yoodo Alliance berjaya meraih tempat keempat selepas bersaing sengit selama tiga hari berturut-turut.

Keputusan akhir untuk pertandingan rantau Asia Tenggara ini didominasi oleh pasukan-pasukan dari Indonesia, di mana BOOM Esports dinobat sebagai johan, diikuti oleh Alter Ego Ares di tempat kedua dan Talon Esports di tempat ketiga. Pasukan Thailand, FaZe Clan, mendapat tempat kelima manakala pasukan Vietnam, D’Xavier, mendapat tempat keenam.

Yoodo Alliance sewaktu pertandingan akhir
Geek Fam sewaktu pertandingan akhir
SEM9 sewaktu pertandingan akhir

Selain Yoodo Alliance, pasukan Malaysia yang lain iaitu Geek Fam berada di tangga ke-12 manakala SEM9 pula berada di tangga ke-13. Meskipun dengan sokongan daripada ribuan penyokong yang hadir dalam pertandingan tersebut, pasukan tempatan gagal menyaingi persaingan sengit daripada pasukan negara jiran.

Peringkat akhir PMSL SEA Spring 2024 telah diadakan pada 15 hingga 17 Mac 2024 di mana ia menyaksikan 16 pasukan dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah USD200,000 dan peluang untuk mara ke pertandingan antarabangsa PUBG Mobile Global Open di Sao Paulo, Brazil.

Para penyokong Malaysia dan negara-negara jiran datang menyokong pasukan-pasukan kegemaran mereka
Keputusan akhir pertandingan

Pertandingan berprestij ini ditaja oleh Republic of Gamers (ROG), TTRacing dan Tropicana Gardens Mall. Ia dianjurkan oleh PUBG Mobile dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Malaysia Esports Federation (MESF) dan Esports Integrated (ESI).

Tahniah kepada wakil-wakil Malaysia yang telah berusaha keras untuk mengharumkan nama negara dalam pentas e-sukan antarabangsa. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version