Seorang lelaki Australia berusia pertengahan 40-an mencatat sejarah perubatan dengan hidup selama 105 hari menggunakan jantung titanium buatan sementara menunggu penderma jantung yang sesuai. Beliau menjadi individu pertama di dunia yang dibenarkan keluar dari hospital dengan peranti jantung buatan ini.
Pembedahan pemindahan jantung penderma berlangsung selama enam jam pada 22 November 2024 di Hospital St. Vincent, Sydney yang merupakan sebahagian Program Perintis Jantung Buatan Universiti Monash. Program ini bertujuan mereka bentuk dan menguji peranti baharu seperti Jantung Buatan Total (TAH) BiVACOR.
Profesor Chris Hayward, pakar kardiologi di Hospital St. Vincent, meramalkan bahawa dalam dekad akan datang, jantung buatan akan menjadi alternatif bagi pesakit yang tidak dapat menunggu penderma jantung atau apabila penderma tidak tersedia.
Peranti titanium ini dilengkapi dengan pengawal luaran kecil dan bateri boleh dicas semula serta fungsi direka sepenuhnya sama seperti jantung asli pesakit. Kes ini menandakan tempoh terpanjang seseorang hidup dengan jantung buatan sementara menunggu penderma.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: CNN

