Site icon TechNave BM

Markah AnTuTu mencecah 847,000 tertiris, dipercayai markah Snapdragon 875

Sumber melaporkan bahawa terdapat cipset baharu yang menjengah masuk dalam ujian penanda aras prestasi AnTuTu dan markahnya kini tertiris. Cipset yang belum diumumkan ini didakwa sebagai Snapdragon 875 dengan paparan markah mencecah 847,000.

Untuk pengetahuan anda, cipset ini hadir pada aplikasi penanda aras dengan kod nama “lahaina”. Melihat kepada gambar markah AnTuTu ini, cipset ini berjaya mengumpul markah sebanyak 847,868. Markah ini adalah 25% lebih berprestasi daripada cipset flagship Qualcomm sebelum ini dengan markah lebih kurang 663,000 di AnTuTu.

Sebagai perbandingan, iPhone 12 mendapat markah 660,000 di AnTuTu. Manakala telefon dengan cipset Kirin 9000 dan Exynos 1080 masing-masing mendapat markah 696,000 dan 693,000.

Sumber turut melampirkan carta AnTuTu (seperti pasaran China kerana siri iQOO 5 disenaraikan) setakat ini untuk rujukan anda. Tempat teratas dalam carta AnTuTu adalah janaan cipset Snapdragon 865, bukan 865+. Menurut AnTuTu, RAM dan jumlah storan turut memainkan peranan dalam pemarkahan ini.

Qualcomm Snapdragon 875 bakal dilancar pada 1 Disember ini. Oleh itu, mungkin kita akan mendapat berita lebih sahih mengenai pemarkahan Snapdragon 875 pada ujian penanda aras.

Apakah pendapat anda? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version