Marshall Malaysia hari ini melancarkan pembesar suara Marshall Bromley 750 yang dikhaskan untuk kegunaan parti dan acara muzik. Ia merupakan produk pertama sepertinya oleh Marshall bagi melambangkan hala tuju syarikat itu yang tidak ingin dihadkan pada industri muzik rock sahaja.
Pembesar suara ini nampak seperti amplifier Marshall berwarna hitam yang sinonim dengan kumpulan gitar rancak, namun dengan reka bentuk besar yang berukuran 25.7 x 16.3 x 14 inci. Untuk memudahkan anda memindahkannya, ia mempunyai roda di bawah serta pemegang untuk menggerakkannya seperti bagasi besar.
Ia turut mempunyai lampu yang boleh berkelip-kelip berdasarkan genre muzik yang dimainkan. Untuk ketahanan, ia mempunyai rating kalis air IP54 supaya ia tidak rosak daripada percikan air.
Untuk spesifikasi audio, ia mempunyai beberapa pemacu audio yang terdiri daripada:
- Dua woofer 150W 10 inci
- Dua mid-ranges 50W 5.25 inci
- Dua tweeter 7W 1 inci
- Dua tweeter 14W 0.8 inci
Semua pemacu ini dihalakan ke arah yang berlainan bagi menghasilkan pengalaman audio 360°.
Satu ciri unik adalah ia mempunyai tombol khas untuk melaraskan ciri bunyi antara Dynamic untuk kegunaan dalam bangunan dan Loud untuk bunyi yang lebih lantang.
Ia mempunyai bateri yang boleh memainkan muzik sehingga 40 jam. Untuk mengecas, ia mengambil masa sekitar 3.5 jam untuk dicas penuh melalui port USB-C, dan pengecasan selama 20 minit sahaja sudah cukup untuk penggunaan selama lima jam.
Di belakang, ia mempunyai beberapa port yang boleh menyambungkan mikrofon, instrumen muzik serta peranti elektronik lain. Ia juga boleh dihubungkan kepada peranti anda secara wayarles melalui Bluetooth 5.3 atau Auracast.
Marshall Bromley 750 akan dijual di Malaysia pada harga RM5,899. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

