Bekas Menteri Pendidikan dan ahli parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik telah melancarkan platform pembelajaran atas talian Sophia.my yang boleh diakses secara percuma oleh semua rakyat Malaysia. Beliau mengambil inisiatif pendidikan ini bagi membantu para pelajar di sekolah rendah dan menengah untuk meneruskan pembelajaran walaupun persekolahan mereka dijejaskan oleh COVID-19.
Sophia.my mengandungi lebih 13,000 pengisian yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia. Para guru juga boleh menggunakannya sebagai pusat sehenti untuk bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, di mana mereka boleh berkongsi bahan mereka sendiri untuk dimanfaatkan oleh pelajar.
Dr Maszlee menyifatkan para pelajar sekarang sebagai “lost generation” kerana mereka telah kehilangan lebih separuh daripada 52 minggu pembelajaran yang sepatutnya dilaksanakan pada 2020. Atas sebab ini, pelajar akan hilang motivasi untuk belajar dan lebih terdedah kepada risiko jenayah serta penyalahgunaan dadah.
Beliau turut mengatakan walaupun sekolah akan tetap bermula pada 20 Januari, masih tiada jaminan jika pandemik ini akan reda dalam masa terdekat. Dengan penubuhan Sophia.my, beliau berharap rakyat boleh memanfaatkannya untuk meneroka ilmu dan sukatan pelajaran yang tertinggal.
Beritahu kami di Facebook jika anda akan menggunakan Sophia.my dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Sinar Harian

