China sekali lagi mencatat sejarah dalam penyelidikan tenaga gabungan apabila reaktor tokamak maju mereka, Experimental Advanced Superconducting Tokamak (EAST), berjaya mengekalkan operasi plasma terkawal selama 1,066 saat.
Kejayaan ini dicapai pada 20 Januari 2025 di Hefei, wilayah Anhui, sekaligus memperbaharui rekod dunia sebelumnya iaitu 403 saat yang dicapai pada tahun 2023. EAST, yang digelar “matahari buatan” China merupakan projek penyelidikan utama di bawah Institut Fizik Plasma Akademi Sains China.
Tokamak ialah mesin berbentuk ‘donut’ yang menggunakan daya magnet untuk mengekalkan plasma pada suhu tinggi mencecah 120 juta °C, lebih panas daripada permukaan matahari. Suhu ini diperlukan untuk pelakuran nuklear antara isotop deuterium dan tritium yang menghasilkan helium dan neutron tanpa sisa radioaktif.
Menurut ketua bahagian operasi dan eksperimen EAST, Gong Xianzu, pencapaian mengekalkan plasma berkeadaan stabil melebihi 1,000 saat dianggap sebagai langkah penting dalam usaha merealisasikan tenaga gabungan sebagai sumber tenaga bersih masa hadapan.
Tenaga gabungan yang meniru proses tenaga matahari berpotensi menjadi penyelesaian kepada keperluan tenaga dunia kerana ia menawarkan tenaga yang bersih, cekap dan hampir tanpa had. Kejayaan ini membuktikan kemajuan pesat China dalam bidang ini dan memberi harapan baharu terhadap penciptaan tenaga yang lebih lestari.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: XinHuaNet

