Site icon TechNave BM

Maxis tawarkan akses 5G selepas Januari 2023

Awal minggu ini, Maxis mendedahkan bahawa syarikat itu masih belum memuktamadkan perjanjian akses 5G dengan Digital Nasional Berhad (DNB). Oleh itu, ia menjadi satu-satunya syarikat telekomunikasi utama yang masih belum mendapat akses kepada infrastruktur 5G nasional.

Maxis hari ini telah memberikan beberapa kemas kini mengenai perjanjian itu. Didedahkan melalui pengumuman untuk Bursa Malaysia, Maxis berkata bahawa lembaga pengarahnya telah menyelesaikan penilaiannya mengenai keperluan tadbir urus perjanjian itu.

Bagaimanapun, lembaga pengarah merasakan bahawa syarikat itu perlu mendapatkan kelulusan pemegang sahamnya mengenai perkara ini dan bukannya menandatangani perjanjian dengan segera. Maxis menyatakan bahawa keputusan ini dibuat selepas menerima nasihat profesional bersama-sama dengan fakta.

Pelanggan Maxis perlu menunggu selama beberapa bulan lagi sebelum mereka dapat menggunakan sambungan 5G. Ini kerana pengumuman itu juga menyatakan bahawa Maxis menyasarkan untuk menyelesaikan proses kelulusan menjelang Januari 2023. Hanya selepas segalanya selesai, Maxis akan mula melancarkan produk dan perkhidmatan 5Gnya.

Sebagai perbandingan, Yes 5G telah dilancarkan pada Disember tahun lepas manakala unifi Mobile, Celcom dan U Mobile akan melancarkan 5G masing-masing pada minggu ini. Walaupun Digi telah pun menandatangani perjanjian akses, syarikat itu masih merahsiakan tarikh pelancaran 5Gnya buat masa ini.

Daripada segi teknologi, Maxis lebih bersedia untuk melancarkan 5G. Selain menawarkan banyak peranti 5G kepada pengguna, syarikat telekomunikasi itu juga telah menubuhkan rakan industri 5Gnya sendiri yang telah menarik 23 rakan kongsi merangkumi Microsoft, Google, HUAWEI, Gamuda, MIMOS, NVIDIA, Nokia dan banyak lagi.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bursa Malaysia

Exit mobile version