Maybank mengumumkan bahawa aplikasi e-dompet MAE kini menyokong perkhidmatan Cross-border DuitNow QR yang membolehkan pengguna membuat pembayaran tanpa tunai di luar negara dengan lebih mudah.
Melalui ciri ini, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR tempatan peniaga di negara terbabit, memasukkan jumlah dalam mata wang asing dan transaksi akan ditolak secara automatik dalam Ringgit Malaysia (RM) mengikut kadar pertukaran semasa.
Sekiranya jumlah melebihi RM250, pengesahan tambahan diperlukan sebelum pembayaran disahkan. Buat masa ini, perkhidmatan tersebut boleh digunakan di Singapura, Thailand, Indonesia, dan Kemboja dengan sokongan daripada rangkaian bank serta e-dompet yang menjadi pengendali di negara masing-masing.
Maybank menetapkan had transaksi harian sehingga RM1,000 atau mengikut tetapan peribadi pelanggan. Pengguna juga boleh menikmati kadar pertukaran asing yang kompetitif untuk setiap pembayaran merentas sempadan. Langkah ini dijangka memudahkan urusan pelanggan yang kerap melancong atau berbelanja di negara jiran tanpa perlu membawa tunai atau menukar wang terlebih dahulu.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

