Maybank sedang bersiap sedia melancarkan aplikasi perbankan baharu sebagai sebahagian daripada strategi lima tahun ROAR30 yang berpotensi menggantikan aplikasi MAE yang kini digunakan oleh jutaan rakyat Malaysia.
Aplikasi baharu itu dibangunkan untuk melonjakkan keupayaan digital bank dan menawarkan ciri yang lebih menyeluruh kepada pelanggan di peringkat serantau. Tidak seperti pendekatan sebelum ini, ia direka supaya boleh digunakan merentas pelbagai pasaran tanpa perlu membangunkan aplikasi berasingan bagi setiap negara.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelaburan teknologi Maybank bernilai RM10 bilion dalam tempoh lima tahun di bawah pelan ROAR30 yang bertujuan meningkatkan penglibatan pelanggan, memperkukuh perkhidmatan perbankan digital serta menyokong pertumbuhan pendapatan berasaskan yuran.
Indonesia dikenal pasti sebagai pasaran pertama untuk pelancaran aplikasi ini, diikuti Malaysia dan Singapura. Aplikasi MAE sedia ada yang telah berkembang menjadi platform utama untuk perbankan peribadi, pengurusan kewangan dan transaksi gaya hidup, berkemungkinan akan digantikan secara berperingkat sekiranya peralihan ke aplikasi baharu berjalan lancar.
Walaupun MAE kini kukuh digunakan, Maybank melihat keperluan kepada platform tunggal dengan keupayaan digital yang lebih luas selaras dengan hala tuju jangka panjang kumpulan. Buat masa ini, Maybank masih belum mendedahkan butiran penuh ciri atau tarikh pelancaran rasmi aplikasi baharu tersebut. Pengumuman lanjut dijangka dibuat sepanjang tahun 2026.
Namun begitu, langkah ini dijangka menerima reaksi bercampur memandangkan MAE baru berusia enam tahun dan pengguna hanya baru menyesuaikan diri selepas peralihan daripada aplikasi M2U My. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

