Sebelum ini, kami sudah memaklumkan mengenai penamatan khidmat SMS TAC dari Maybank untuk transaksi RM5,000 ke atas yang diganti dengan cara Secure2u bermula 16 Februari. Terkini, Maybank memaklumkan bahawa kesemua transaksi IBG dan pembayaran bil hanya boleh disahkan melalui Secure2u, tiada lagi SMS TAC di telefon bermula 15 Mac 2021.
Maybank telah memaklumkan perkara ini di laman rasminya. Menurut Maybank, bermula 15 Mac 2021, kesemua pembayaran bil dan transaksi IBG dalam mana-mana jumlah kini tidak akan diberikan lagi SMS TAC di telefon anda untuk pengesahan. Sebaliknya, anda perlu menggunakan cara Secure2u untuk mengesahkan transaksi.
Untuk mengaktifkan dan menggunakan Secure2u, anda terlebih dahulu boleh memuat turun aplikasi Maybank2u. Anda juga boleh rujuk pautan ini untuk panduan menggunakan Secure2u.
Sudahkah anda mengaktifkan Secure2u? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Maybank

