Site icon TechNave BM

MCMC larang muat turun aplikasi Pink WhatsApp kerana risiko digodam

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai agar berwaspada apabila menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi hasad Pink WhatsApp.

Aplikasi berkenaan kononnya menawarkan ciri keselamatan serta privasi yang lebih baik, antaramuka yang boleh diubah suai serta keupayaan untuk menghantar fail lebih besar berbanding aplikasi WhatsApp yang biasa digunakan.

Bagaimanapun, selepas pemasangan, aplikasi hasad berkenaan boleh mengakses pelbagai item dalam telefon pintar pengguna seperti gambar, SMS dan senarai kenalan yang boleh membawa kepada risiko keselamatan yang serius.

Para pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah datang daripada WhatsApp yang mengajak pengguna untuk mencuba aplikasi baharu tersebut. MCMC menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi ”Pink WhatsApp” tersebut dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia telah dipasang dalam telefon pintar.

MCMC mengesyorkan pengguna untuk hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan HUAWEI AppGallery. Pengguna juga diminta untuk tidak menyebarluaskan sebarang pautan yang mencurigakan.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version