Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan aplikasi MCMC Nexus bagi membolehkan pengguna menguji kelajuan internet dan memantau kualiti rangkaian secara masa nyata di kawasan masing-masing. Inisiatif ini bertujuan membantu pihak berkuasa mengumpul data prestasi rangkaian sebenar daripada pengguna di seluruh negara untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi.
Aplikasi tersebut juga membolehkan orang ramai menyumbang data berkaitan prestasi rangkaian secara terus kepada MCMC dan penyedia perkhidmatan mengenal pasti kawasan yang mempunyai masalah liputan atau kualiti internet. Maklumat yang dikumpul akan digunakan bagi menyokong usaha penambahbaikan rangkaian pada masa hadapan.
Sejak diperkenalkan secara berperingkat pada Februari 2025, aplikasi MCMC Nexus telah merekodkan lebih 51,000 muat turun serta mengumpul sekitar 168 juta titik data kualiti rangkaian di seluruh negara. Data yang diperoleh membolehkan pihak berkuasa menghasilkan gambaran lebih tepat mengenai prestasi rangkaian internet di pelbagai lokasi.
Dalam masa yang sama, kerajaan turut memaklumkan bahawa setakat 31 Januari lalu, sebanyak 9.82 juta premis di Malaysia kini mempunyai akses jalur lebar gentian optik, melepasi sasaran asal 9 juta premis. Kelajuan median jalur lebar mudah alih negara juga dilaporkan mencapai 147.24 Mbps iaitu melebihi sasaran nasional sebanyak 100 Mbps.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Bernama

