Site icon TechNave BM

MCMC panggil Meta beri penjelasan isu iklan penipuan dan perjudian dalam talian

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil Meta untuk memberi penjelasan rasmi selepas laporan Reuters mendedahkan syarikat itu meraih keuntungan daripada iklan penipuan, perjudian dalam talian dan aktiviti haram. MCMC turut memulakan siasatan terhadap dakwaan tersebut dan menegaskan jika terbukti benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap kepercayaan awam serta undang-undang negara.

Sebelum laporan itu diterbitkan, MCMC telah mengadakan sesi libat urus dengan Meta bagi menangani isu sama, namun menyatakan kebimbangan terhadap jumlah permintaan penurunan kandungan yang terlalu tinggi berbanding platform lain. Daripada 1 Januari hingga 4 November 2025, MCMC mengemukakan 157,208 permintaan kepada Meta untuk menurunkan iklan aktiviti haram dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan yang jauh lebih tinggi daripada TikTok, Telegram, X dan YouTube.

MCMC menasihati Meta agar mengambil langkah lebih proaktif kerana usaha sedia ada masih tidak mencukupi dan memberi kesan negatif kepada masyarakat. Bagi memastikan keselamatan dalam talian yang lebih kukuh, MCMC menegaskan semua platform perlu dilesenkan secara sah, melaksanakan pengesahan identiti pengguna, dan akan dikenakan tindakan jika didapati sengaja membantu aktiviti menyalahi undang-undang.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version