Site icon TechNave BM

MCMC perkukuh pelaksanaan NAS sehingga 2027, sasar lebih 11 juta alamat berpusat

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan perancangan tiga tahun bagi memperkukuh pelaksanaan Sistem Alamat Kebangsaan (NAS) sehingga tahun 2027. Langkah ini bertujuan menyatukan data alamat negara secara menyeluruh dan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal teknologi luar.

Menurut Ketua Bahagian Inovasi Digital dan Geospatial MCMC, Ahmad Aswadi Yusof, penekanan pada tahun 2026 adalah kepada pelaksanaan sistem berasaskan projek perintis, penglibatan komuniti NAS serta pengesahan data utama. Manakala tahun 2027 akan memberi fokus kepada peningkatan kualiti data dan penambahbaikan sistem aplikasi.

Setakat ini, kerajaan telah membelanjakan sekitar RM700 juta untuk mendapatkan maklumat lokasi daripada pelbagai pembekal teknologi luar. Namun, tanpa sistem penyatuan rasmi, situasi ini mengakibatkan maklumat alamat yang bercelaru dan penghantaran yang tersasar termasuk kekeliruan antara kawasan yang mempunyai nama serupa di negeri berbeza.

NAS akan menjadi sumber rasmi dan rujukan tunggal kerajaan untuk alamat negara yang melibatkan lebih 11 juta rekod di seluruh Malaysia. Ia dijangka memacu kecekapan logistik, e-dagang dan perkhidmatan kerajaan digital. Pengumuman ini dibuat dalam Persidangan Alamat Nasional 2025 yang akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bernama

Exit mobile version