Site icon TechNave BM

MCMC turunkan lebih 40,000 kandungan palsu, “scam” pada 2025 setakat ini

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan lebih 40,000 kandungan palsu dan penipuan yang tersebar dalam internet sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, 10,493 kandungan palsu dan 30,427 kandungan penipuan atau scam telah diturunkan oleh MCMC dalam tempoh Januari hingga 15 April tahun ini. Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang kandungan dalam internet dan sebaliknya harus melakukan semakan terlebih dahulu.

Bagi memupuk penyebaran maklumat yang tepat, kerajaan telah melaksanakan Kempen Internet Selamat untuk mendidik anak-anak dengan kaedah penggunaan internet yang betul. Ia akan dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah serta universiti awam di seluruh negara menjelang akhir tahun.

Kempen ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar tentang risiko dan cabaran dalam ruang digital. Ia telah diperkenalkan pada 1 Mei lalu di sembilan sekolah.

Selain itu, beliau juga menggalakkan para pelajar untuk banyakkan membaca bukan sahaja untuk meningkatkan ilmu, malah melatih minda supaya tidak mudah tertipu dengan sebarang kandungan negatif dalam ruangan maya.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version