Site icon TechNave BM

MediaTek Dimensity 7200 Ultra dilancar: Cipset 4nm untuk telefon kelas pertengahan

MediaTek telah melancarkan cipset terbaru untuk telefon kelas pertengahan iaitu MediaTek Dimensity 7200 Ultra yang merupakan varian baharu untuk Dimensity 7200 yang dilancar pada Februari tahun ini.

Cipset ini dibuat dengan nod proses 4nm oleh TSMC bagi menghasilkan prestasi yang lebih dekat dengan cipset untuk telefon kelas andalan (flagship). Ia mempunyai lapan teras, terdiri daripada dua ARM Cortex A715 2.8GHz dan enam ARM Cortex A510 2GHz. Unit grafiknya pula ialah Mali-G7610 GPU.

Ia menyokong skrin pada resolusi FullHD+ dengan kadar segar semula 144Hz, serta RAM LPDDR4x atau LPDDR5. Untuk fotografi, ia boleh menyokong kamera dengan resolusi 200MP, rakaman video 4K 30fps dan pemprosesan imej HDR 14-bit dengan pemproses imej Imagiq 765 ISP.

Daripada segi telekomunikasi, cipset ini menyokong rangkaian 5G dengan mod dual 5G standby, panggilan telefon VoNR dan carrier aggregation.

Buat masa ini, MediaTek masih belum mengumumkan jenama telefon yang akan dilengkapi Dimensity 7200 Ultra, namun Xiaomi sudah mengesahkan bahawa Redmi Note 13 Pro+ akan dilengkapi cipset tersebut, serta sensor kamera 200MP oleh Samsung.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan cipset ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Police

Exit mobile version