Site icon TechNave BM

MediaTek ‘kantoi’ guna pintu belakang dalam ujian penanda aras dan ini penjelasan mereka

Jika selama ini anda mengambil tahu tentang isu teknologi semasa, anda pasti mengenali penggiat teknologi AnandTech. Terkini, AnandTech telah mendapat tahu bahawa MediaTek telah mengaplikasikan cara ‘pintu belakang’ untuk memastikan ujian penanda aras bagi peranti yang menggunakan cipset tersebut mencapai mata yang baik.

MediaTek mengeluarkan kenyataan bahawa setiap jenama mempunyai kebebasan untuk mengubah suai peranti bagi mencapai tahap yang diingini. Banyak syarikat yang membina peranti untuk mencapai prestasi tertinggi dalam ujian penanda aras untuk menunjukkan keupayaan cipset yang tertinggi. Terdapat beberapa faktor yang menentukan prestasi cipset dalam penanda aras, jadi terdapat jenama yang menggunakan faktor tersebut untuk meningkatkan prestasi peranti mereka. Contohnya, untuk mencapai prestasi tinggi, mereka mungkin mengaktifkan mod tertentu seperti mod monster atau mod berprestasi tinggi semasa menjalankan ujian penanda aras yang menghasilkan markah prestasi yang tinggi.

Menurut MediaTek lagi, dakwaan penipuan dalam prestasi ujian penanda aras itu adalah sebenarnya konfigurasi atau pengubahsuaian untuk memastikan markah yang dicapai menunjukkan prestasi tertinggi peranti dengan cipset tertentu. Mereka hanya mengikut standard industri dalam menjalankan ujian penanda aras.

Adakah anda merasakan konfigurasi atau fleksibiliti ini merupakan cara terbaik untuk menentukan prestasi cipset yang sebenar? Atau anda berpendapat ujian penanda aras tidak memerlukan cara sebegini, perlu dilakukan secara telus? Beritahu kami pendapat anda di laman Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: MediaTek, AnandTech melalui Android Police

Exit mobile version