Site icon TechNave BM

MediaTek kini cipset telefon paling laris di China, mengalahkan Qualcomm dan Apple

Dengan populasi melebihi 1 bilion, pasaran China sering dijadikan kayu ukur untuk menilai sebarang trend antarabangsa dalam industri telefon pintar. Sebarang trend yang berlaku di China mempunyai kemungkinan besar untuk turut berlaku dalam pasaran antarabangsa.

Sebelum ini, telefon dengan cipset Qualcomm atau Apple sering menjadi telefon terlaris di negara tersebut, namun kini takhta itu telah berpindah kepada MediaTek. Menurut data daripada firma analisa CINNO Research, MediaTek adalah cipset telefon terlaris di China untuk suku pertama (Q1) 2022.

Sepanjang Q1 2022, jualan telefon dengan cipset MediaTek adalah tertinggi dengan jualan sebanyak 30.7 juta telefon, diikuti dengan Qualcomm, Apple, HiSilicon dan UNISOC. MediaTek meneruskan trendnya sebagai cipset telefon terlaris sejak Q4 2021.

MediaTek mencatatkan jumlah peningkatan jualan yang ketara daripada Q4 2021, iaitu sebanyak 22.6% lebih tinggi. Qualcomm juga mencatatkan peningkatan sebanyak 13.1%, manakala Apple, Hisilicon dan UNISOC pula mengalami pengurangan jualan daripada Q4 2021.

Sebagai rujukan, 74.39 juta telefon telah dijual di China sepanjang Q1 2022. Penganalisis mengatakan MediaTek berjaya menjual jumlah cipset yang banyak kerana katalognya terdiri daripada pelbagai jenis kategori iaitu untuk telefon kelas permulaan, kelas pertengahan dan kelas andalan.

Qualcomm pula mengalami pengurangan jualan kerana syarikat itu ingin memfokuskan kepada pasaran telefon pintar andalan yang lebih canggih. Ini bermaksud syarikat Amerika Syarikat itu mungkin akan kehilangan jualan dalam pasaran telefon kelas pertengahan dan permulaan.

Sementara itu, pasaran Malaysia juga menyaksikan lebih banyak telefon pintar dilengkapi cipset MediaTek sejak dua tahun lepas. Beritahu kami di Facebook jika anda memiliki telefon dengan cipset MediaTek dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: ITHome

Exit mobile version