Site icon TechNave BM

MediaTek perkenal Kompanio 540 – cip baharu khas untuk Chromebook akan datang

MediaTek memperluas lagi penguasaannya dalam dunia pembuatan cip dengan memperkenalkan Kompanio 540 iaitu cipset baharu yang dibangunkan khusus untuk komputer riba Chromebook bagi kegunaan pelajar dan kasual.

Berbeza dengan siri Dimensity dan Helio yang digunakan pada telefon pintar Android, Kompanio 540 memberi tumpuan kepada keseimbangan antara prestasi tinggi dan kecekapan tenaga dengan sasaran utama untuk memastikan penggunaan bateri sepanjang hari. Menurut MediaTek, cip ini menawarkan penjimatan kuasa sehingga 35% lebih baik berbanding Kompanio 520.

Kompanio 540 hadir dengan pemproses lapan teras berasaskan konfigurasi 2+6 yang terdiri daripada dua teras berprestasi tinggi Cortex-A78 (2.6GHz) dan enam teras jimat tenaga Cortex-A55 (2.0GHz). Ia juga dilengkapi dengan GPU Mali-G57 MC2 yang menyokong paparan 4K pada kadar 60Hz atau dua skrin 2.5K serentak apabila disambung ke monitor luaran.

Bagi sambungan wayarles, Kompanio 540 menyokong Wi-Fi 7, Bluetooth 6.0 dan Bluetooth Low Energy (LE). MediaTek turut menawarkan fleksibiliti dalam pilihan storan dan memori dengan sokongan untuk RAM LPDDR5-6400 serta LPDDR4x-4266 dan pilihan storan eMMC 5.1 atau UFS 3.1 yang lebih laju.

Selain itu, ia menyokong USB 3.2 Gen 2 dan PCIe Gen 2 untuk sambungan aksesori dan peranti tambahan. MediaTek mengesahkan bahawa Kompanio 540 akan mula digunakan pada Chromebook pengguna bermula Januari 2026 dan secara tidak langsung menandakan kemasukan generasi baharu Chromebook yang lebih cekap, berkuasa serta fleksibel untuk dunia pendidikan moden.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version