Firma penyelidikan pasaran Counterpoint baru-baru ini mendedahkan statistik terkini pasaran cip pemproses telefon pintar global bagi suku pertama tahun 2025 dan MediaTek muncul sebagai peneraju utama. Menurut laporan, MediaTek menguasai 26% daripada jumlah penghantaran cip telefon pintar di seluruh dunia dalam tempoh tersebut.
Kejayaan ini didorong oleh permintaan kukuh terhadap cip peringkat permulaan dan kelas pertengahan termasuk cip Dimensity 8400 yang membantu meningkatkan penghantaran dalam segmen pertengahan ke tinggi. Walaupun penghantaran cip dalam segmen premium berkurangan, MediaTek masih menunjukkan pertumbuhan suku-ke-suku yang positif.
Di tempat kedua ialah Qualcomm dengan 28% bahagian pasaran. Walaupun jumlah penghantaran mereka kekal stabil berbanding suku sebelumnya, syarikat ini mengekalkan kedudukan teratas disebabkan permintaan berterusan terhadap cip berprestasi tinggi. Cip Snapdragon 8 Elite menjadi tunjang utama kejayaan yang digunakan secara meluas dalam model andalan terkini termasuk Samsung Galaxy S25 yang menggunakan cip ini secara eksklusif.
Cip Snapdragon 8 Gen 3 juga masih menunjukkan prestasi kukuh. Apple pula berada di tempat ketiga dengan 17% pegangan pasaran. Jumlah penghantarannya meningkat berbanding tahun lalu, didorong oleh kejayaan model iPhone 16e yang menggunakan cip Apple A18. Namun, pertumbuhan suku-ke-suku sedikit terbantut akibat kelembapan bermusim dalam pasaran.
Sementara itu, UNISOC dan Samsung masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima dengan 10% dan 5% bahagian pasaran. UNISOC mengalami penurunan dalam penghantaran disebabkan permintaan yang lemah terhadap cip LTE walaupun mereka masih menguasai segmen telefon bajet bawah USD99.
Samsung pula menunjukkan sedikit pertumbuhan melalui cip Exynos 1580 dalam Galaxy A56 serta Exynos 1330 untuk Galaxy A16 5G. Permintaan tinggi terhadap Galaxy A26 juga membantu lonjakan cip Exynos 1380. Akhir sekali, Huawei HiSilicon berada di tempat keenam dengan 4% bahagian pasaran.
Walaupun penghantarannya menurun, jenama ini masih kekal relevan di pasaran China hasil kesetiaan pengguna tempatan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Counterpoint

