MediaTek melancarkan pemproses baharu Dimensity CX C10 Max yang merupakan cip pertama di bawah siri siri Compute Experience (CX). Pemproses ini dibina menggunakan teknologi proses 3nm TSMC yang disasarkan untuk laptop nipis, ringan dan tanpa kipas bagi kategori peranti Googlebook.
Daripada segi seni bina, pemproses ini menggunakan reka bentuk lapan teras prestasi penuh (all-big-core). Konfigurasi teras CPU merangkumi 1 teras Arm Cortex-X925 pada kelajuan sehingga 3.73 GHz, 3 teras Arm Cortex-X4 dan 4 teras Arm Cortex-A720. Pemproses ini turut dilengkapi memori L3 cache 12MB dan System Level Cache (SLC) 10MB.
Bagi fungsi pemprosesan kecerdasan buatan, cip ini dimuatkan dengan MediaTek NPU 890 yang berupaya menghasilkan prestasi pemprosesan AI tempatan sehingga 55 TOPS. Bahagian grafik digerakkan oleh GPU Arm Immortalis-G925 MC11 11-teras yang menyokong paparan skrin dalaman sehingga resolusi 4K 60Hz serta dwi-paparan luaran 4K.
MediaTek mendakwa pemproses ini mampu memberikan prestasi berbilang teras sehingga 15% lebih pantas dan 50% lebih jimat tenaga berbanding cip pesaing. Dari segi ketersambungan dan pemprosesan media, pemproses ini menyokong memori LPDDR5X sehingga 9600 Mbps, storan UFS 4.0, Wi-Fi 7, serta Bluetooth 6.0.
Ciri rakaman imej disokong oleh ISP Imagiq 1090 yang mengendalikan sensor kamera sehingga 32MP dengan fungsi penstabilan video dan penjejakan auto-fokus. MediaTek mengesahkan bahawa pemproses Dimensity CX C10 Max ini disediakan khusus untuk platform peranti Googlebook. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

