Kerajaan Negeri Melaka akan mewartakan pengharaman penggunaan dan penjualan rokok elektronik (vape) dalam masa terdekat selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang telah menetapkan hukum vape sebagai haram sejak 2015.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira aspek syariah, kesihatan, saintifik dan pembaziran. Usul berkenaan telah dibentangkan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini dan proses penggubalan perincian peraturan kini sedang dilakukan.
Menurut beliau, langkah ini juga selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Disember 2024 yang mengklasifikasikan penggunaan vape sebagai haram di seluruh negara. Tambahnya, keputusan ini perlu dilaksanakan bagi mengawal budaya tidak sihat khususnya dalam kalangan remaja.
Jabatan Kesihatan Melaka kini sedang menyediakan cadangan terperinci bagi memastikan pelaksanaan larangan berjalan lancar termasuk membabitkan aspek kawalan penjualan dan pengilangan. Melaka menjadi antara negeri yang mengambil langkah sama seperti Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu yang mengisytiharkan larangan terhadap penggunaan vape.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Berita Harian

