Site icon TechNave BM

Mengejek guru DidikTV adalah satu bentuk pembulian siber – Menteri Komunikasi

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah mengatakan bahawa perbuatan mempersenda seorang guru dalam rancangan televisyen DidikTV adalah satu bentuk pembulian siber dan tidak sepatutnya berlaku.

Datuk Saifuddin merujuk kepada video seorang guru DidikTV yang tular dalam media sosial, di mana seorang penyampai radio dari Sarawak mengetawakan sebutan bahasa Inggeris guru tersebut yang kurang sempurna. Datuk Saifuddin menjelaskan bahawa guru itu hanyalah melaksanakan tugasnya sebagai pendidik dan dia tidak mempunyai latihan asas dalam penggambaran, membuatkannya nampak kekok dalam kaca televisyen.

Susulan itu, menteri KKMM menggesa keperluan untuk mendirikan akta khas untuk pembulian siber. Beliau juga memetik kajian daripada Universiti Multimedia Malaysia (MMU) yang mengatakan lebih 80 peratus pengamal undang-undang berpendapat mereka perlukan perundangan khusus untuk pembulian siber.

KKMM kini sedang menyiapkan kertas Kabinet untuk memulakan draf rang undang-undang anti buli siber agar ia boleh dibentangkan dalam Parlimen nanti. KKMM juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menambah baik mutu kandungan yang disiarkan dalam DidikTV.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Berita Harian

Exit mobile version