Site icon TechNave BM

Menteri K-KOMM: Model rangkaian DNB benarkan rakyat Malaysia nikmati 5G dengan harga lebih murah

Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa pembangunan rangkaian 5G dengan model Single Wholesale Network (SWN) akan memberikan pengalaman rangkaian 5G dalam kadar yang murah. Ini kerana model SWN akan memastikan rangkaian 5G negara tidak dimonopoli oleh satu syarikat.

Beliau menjelaskan bahawa satu syarikat akan terlibat dalam menyediakan infrastruktur 5G, manakala syarikat telekomunikasi akan menumpukan kepada penyediaan perkhidmatan tersebut. Usaha ini membenarkan DNB untuk fokus pada pembinaan rangkaian di satu lebuh raya yang lebih efisien, manakala syarikat telekomunikasi yang lain tidak perlu membina menara 5G masing-masing.

Menteri K-KOMM itu turut mengulangi bahawa kerajaan telah pun bersetuju untuk membenarkan syarikat telekomunikasi tempatan utama memiliki 70 peratus ekuiti dalam DNB. Walau bagaimanapun, hanya DNB yang dibenarkan untuk mengurus infrastruktur 5G bagi mengekalkan kos rendah, supaya orang ramai akan menerima perkhidmatan 5G pada kadar yang lebih rendah.

Selain itu, beliau berkata model SWN ini juga akan meningkatkan persaingan antara syarikat telekomunikasi untuk menghasilkan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber:  Bernama

Exit mobile version