Site icon TechNave BM

Menteri K-KOMM: Syarikat telko tidak boleh bahagikan kawasan liputan sesama mereka

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa, mengingatkan kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan supaya tidak memilih atau membahagikan kawasan liputan rangkaian sesama mereka sendiri. Sebaliknya, mereka harus menawarkan perkhidmatan telekomunikasi secara sama rata di semua kawasan.

Perkara ini penting bagi memastikan semua rakyat boleh mendapatkan mutu perkhidmatan yang sama rata dalam sesebuah kawasan, walaupun jika mereka melanggan kepada perkhidmatan telekomunikasi yang berbeza.

Beliau tidak mahu sebuah situasi berlaku di mana sebuah kawasan hanya akan mempunyai perkhidmatan telekomunikasi oleh syarikat tertentu sahaja dan para pengguna tidak mempunyai banyak pilihan untuk melanggan kepada sebuah perkhidmatan telekomunikasi yang digemari.

Beliau juga tidak mahu syarikat telekomunikasi membahagi-bahagikan kawasan liputan, seperti sebuah syarikat telekomunikasi yang enggan menawarkan perkhidmatannya di sebuah kawasan yang sudah pun dikhidmatkan oleh syarikat telekomunikasi lain.

Bagi menjayakan hasrat ini, syarikat telekomunikasi harus memanfaatkan teknologi menara telekomunikasi terkini yang membenarkan beberapa syarikat berbeza untuk menyediakan perkhidmatan, walaupun dengan satu menara sahaja.

Beliau turut menggesa syarikat telekomunikasi untuk memikirkan soal kemanusiaan bagi membenarkan mereka yang menetap di kawasan terpencil untuk kekal berhubung dengan orang tersayang. Ini termasuklah seperti anggota keselamatan yang bertugas di barisan hadapan dan sebelum ini tidak mempunyai akses kepada rangkaian telekomunikasi.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version