Site icon TechNave BM

Menteri Kesihatan umum semua hospital kerajaan bakal sediakan Wi-Fi percuma

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan menyediakan Wi-Fi percuma untuk pelawat dan pesakit di semua hospital kerajaan di Malaysia. Tambah Khairy, inisiatif itu akan dilaksanakan di Hospital Rembau di Negeri Sembilan terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke hospital awam lain di seluruh negara.

Bercakap pada majlis perasmian rasmi Hospital Rembau semalam, Khairy berkongsi bagaimana di kebanyakan hospital awam, isyarat rangkaian telefon lemah sesuatu yang beliau sendiri alami ketika melawat Hospital Rembau sebelum ini. Beliau seterusnya menjelaskan bahawa rangkaian yang lemah ini menyukarkan pelawat dan pesakit untuk berkomunikasi dengan keluarga mereka dari hospital.

Justeru, Khairy berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh dan bersetuju susulan pelaksanaan di Hospital Rembau di mana wi-fi percuma juga akan diberikan di semua hospital kerajaan pada masa hadapan.

Dalam ucapan sama yang boleh ditonton di sini, Khairy turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan kemudahan wi-fi percuma di hospital kerajaan untuk melakukan perkara seperti menonton Netflix. Dengan pelancaran rasmi Hospital Rembau, Negeri Sembilan kini mempunyai 7 hospital kerajaan di mana setiap daerah mempunyai satu hospital.

Apakah pendapat anda tentang inisiatif Kementerian Kesihatan ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Facebook KKM

Exit mobile version