Site icon TechNave BM

Menteri Kewangan: Caj 5G dijangka lebih murah berbanding 4G

Baru-baru ini, dalam sidang parlimen yang berlangsung, Menteri Kewangan Malaysia iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata harga atau caj perkhidmatan 5G pada masa hadapan dijangka jauh lebih rendah berbanding kos penggunaan 4G ketika ini.

Digital Nasional Berhad (DNB) akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi setiap Gigabit untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi berbanding kos tambahan bagi setiap Gigabit 4G yang dihasilkan syarikat telekomunikasi.

Beliau menambah lagi, DNB akan melaksanakan rangkaian 5G melalui rangkaian borong tunggal atau ‘single wholesale network’ (SWN) bagi tujuan ini. Setiap syarikat telekomunikasi dijangka akan membayar DNB antara RM3.5 bilion hingga RM4 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan purata RM350 hingga RM400 juta setahun.

Jumlah ini jauh lebih rendah daripada modal bernilai RM1 bilion yang dibelanjakan untuk 4G yang dilaburkan oleh syarikat telekomunikasi setiap tahun. Seterusnya, syarikat telekomunikasi akan mendapat penjimatan lebih dari 50 peratus dan penjimatan tersebut dapat mengurangkan harga perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan atau pengguna.

Dengan penjimatan tersebut, syarikat telekomunikasi yang terlibat mampu untuk membayar dividen yang lebih tinggi kepada pelabur-pelabur mereka. Selain daripada kos yang lebih rendah dan tanpa modal perbelanjaan yang ketara, syarikat telekomunikasi juga akan dapat menyampaikan perkhidmatan 5G lebih awal berbanding jika mereka melancarkannya sendiri.

Beritahu kami di Facebook pendapat anda tentang berita ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Astro Awani

Exit mobile version