Site icon TechNave BM

Menteri KKD: RM7.2 juta telah diberikan kepada 34 penggiat industri kreatif digital pada 2022

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah memberikan geran berjumlah RM7.2 juta kepada 34 penggiat industri kreatif tempatan sepanjang tahun ini bagi membangunkan industri tersebut.

Satu pencapaian yang membuahkan hasil daripada pemberian geran tersebut adalah kejayaan siri animasi tempatan Mechamato yang telah disenaraikan antara tiga tempat teratas di Anugerah Festival Anime Tokyo 2023. Mechamato diterbitkan oleh Animonsta Studios Sdn Bhd yang merupakan salah satu penerima Geran Kandungan Digital MDEC.

Ini membuktikan bahawa hasil karya animasi Malaysia adalah bertaraf dunia dan kerajaan akan terus memberi sokongan untuk memperkasakan lagi industri ini di bawah agenda ekonomi digital negara.

Beliau juga berkata industri kreatif dan kandungan digital memberi impak besar terhadap ekonomi digital Malaysia dan berjaya mengeksport bakat tempatan bertaraf dunia ke studio terkemuka di Hollywood.

Pasaran industri kreatif dan kandungan digital dijangka boleh memberi pulangan sehingga RM977.8 bilion dalam peringkat global menjelang hujung 2022, jadi KKD dan MDEC akan menggandakan usaha untuk menarik pelaburan asing ke dalam negara bagi menyemarakkan ekosistem tempatan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version