Site icon TechNave BM

Menteri-menteri Kesihatan negara ASEAN setuju bina pengiktirafan seragam untuk vaksin COVID-19

Para menteri kesihatan daripada negara ahli Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) telah bersetuju untuk menghasilkan sebuah pengiktirafan vaksin COVID-19 yang seragam bagi memastikan perlanan rentas sempadan yang lancar dan selamat dalam rantau ini.

Pengiktirafan yang bernama Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin COVID-19 itu akan dilaksana menggunakan Mekanisme Verifikasi Sejagat ASEAN atau mekanisme lain yang dibangunkan daripada spesifikasi teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Anak Dagang, perkara itu dipersetujui dalam sesi perbincangan khas Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-15 yang dilaksanakan di Bali, Indonesia pada Sabtu lalu. Malaysia menghargai usaha Indonesia untuk mengambil inisiatif mengetuai pengiktirafan bersama ini.

Sistem pengiktirafan bersama ini juga boleh membantu negara ASEAN yang belum memiliki sistem verifikasi sijil vaksinasi COVID-19.

Dalam pada itu, Malaysia akan mengetuai Projek Memperkukuh Kapasiti Makmal berkaitan Biogenomik Covid-19 bagi Negara Anggota ASEAN yang merupakan sebahagian daripada projek Memperkukuh Inisiatif Serantau di ASEAN mengenai Respons Covid-19 dan Inisiatif Kesihatan Awam lain.

Projek ini akan memfokuskan pada aspek teknikal dalam pelaksanaan jujukan penuh genom COVID-19, pengesanan mutasi virus, pembinaan pepohon filogenetik COVID-19 serta analisis genom dan menggiatkan sistem survelan COVID-19.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version