Site icon TechNave BM

Menteri Pendidikan: Sekolah akan haramkan telefon pintar untuk cegah ketagihan “game”

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata bahawa telefon pintar akan terus diharamkan di sekolah bagi mengekang ketagihan game walaupun lazimnya peranti ini adalah keperluan pelajar sekolah rendah dan menengah disebabkan oleh Covid-19 yang memerlukan pembelajaran dalam talian.

Malah, Radzi berkata bahawa larangan sedemikian sebenarnya lebih penting untuk memastikan pelajar tidak akan menggunakan peranti ini terlalu lama yang didakwa akan menyebabkan ketagihan. Bercakap di Parlimen, Menteri Pendidikan berkata larangan peranti digital seperti telefon pintar di sekolah dalam kalangan pelajar telah dikuatkuasakan Kementerian Pendidikan sejak 2009.

Selain itu, Radzi menjelaskan bahawa pekeliling 2018 daripada Kementerian Pendidikan telah pun menetapkan garis panduan penggunaan peranti digital untuk tujuan pembelajaran di sekolah. Kementerian juga sentiasa menjalankan intervensi terhadap tingkah laku pelajar terutamanya berkaitan ketagihan game dan telefon pintar.

Intervensi ini termasuk kaunseling, kursus kepimpinan, sukan, program seni dan banyak lagi. Radzi juga meminta ibu bapa memantau dan mengehadkan penggunaan telefon pintar anak-anak mereka. Menteri Pendidikan seterusnya menegaskan bahawa kementeriannya memandang serius ketagihan game dan telefon pintar serta kesan buruk mental terhadap pelajar di bawah umur 18 tahun.

Jadi, apakah pendapat anda tentang pengharaman telefon pintar di sekolah? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Sinar Harian

Exit mobile version