Site icon TechNave BM

Mesej WhatsApp anda kini boleh dipindahkan dari iPhone ke mana-mana telefon Android 12

Sebelum ini, sejarah sembang (chat history) dalam aplikasi pemesejan WhatsApp boleh dipindahkan daripada iPhone ke dalam telefon Samsung, kemudian diluaskan kepada telefon Google Pixel. Kini, WhatsApp bakal memperkenalkan fungsi tersebut untuk semua telefon yang dilengkapi sistem operasi Android 12.

Untuk memindahkan mesej di antara dua telefon tersebut, anda hanya perlukan wayar yang mempunyai penghubung Lightning ke USB-C dan hubungkan kedua-dua telefon dengan wayar itu. Sewaktu mengaktifkan WhatsApp pada peranti Android 12 buat kali pertama, sebuah kod QR akan terpapar pada skrinnya dan ia boleh diimbas menggunakan kamera dalam iPhone. Selepas kod QR itu diimbas, data WhatsApp boleh dipindahkan termasuklah mesej, gambar dan video.

Google mengatakan fungsi pemindahan mesej WhatsApp itu bakal diperkenalkan dalam tempoh beberapa bulan lagi dan sebarang pemindahan data akan dilakukan dengan selamat. Sewaktu proses pemindahan dijalankan, iPhone itu tidak akan menerima sebarang mesej baharu.

Di samping itu, Android 12 juga boleh menyalin SMS, sejarah iMessage, kenalan (contacts), kalendar, gambar dan video, bergantung kepada izin daripada pengguna. Perlu diingati bahawa pemindahan mesej WhatsApp daripada telefon Android ke iPhone masih tidak boleh dilakukan.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan fungsi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Google

Exit mobile version