Meta iaitu syarikat yang memiliki Facebook telah didenda €1.2 bilion (~RM5.95 bilion) oleh Pihak Berkuasa Perlindungan Data Ireland (IE DPA). Menurut Lembaga Perlindungan Data Eropah (EDPB), ia merupakan denda terbesar yang pernah berlaku ke atas pelanggaran data atau General Data Protection Regulation (GDPR).
Denda itu dikenakan kerana Meta telah memindahkan data peribadi pengguna Eropah ke Amerika Syarikat melalui klausa kontrak standard sejak Julai 2020 yang EDPB anggap menyalahi undang-undang. Meta perlu menghentikan prosedur dalam tempoh enam bulan.
Menurut Suruhanjaya Perlindungan Data, Meta Ireland melanggar Artikel 46 (1) GDPR. Artikel itu sendiri membenarkan organisasi memindahkan data ke negara ketiga atau organisasi antarabangsa dengan syarat terdapat perlindungan yang sesuai dan penyelesaian undang-undang yang berkesan untuk subjek data.
Data Protection Commission (DPC) membuat kesimpulan bahawa langkah-langkah oleh Meta adalah tidak mencukupi dalam menangani risiko terhadap hak dan kebebasan subjek data. Siasatan telah dimulakan pada Ogos 2020 tetapi menerima lampu hijau daripada mahkamah Ireland pada Mei 2021.
DPC mempunyai masa untuk menyediakan draf keputusan itu, yang disokong oleh kebanyakan ahli EU/EEA yang lain. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: EDPB

