Site icon TechNave BM

Meta Glasses rasmi dengan tiga rekaan bingkai, bateri 8 jam dan AI Muse Spark

Meta secara rasmi memperkenalkan Meta Glasses iaitu siri cermin mata pintar baharu yang dibangunkan bersama pengeluar kaca mata EssilorLuxottica. Pelancaran ini dilihat sebagai langkah terbaharu Meta untuk memperluaskan penggunaan peranti AI boleh pakai dengan menawarkan harga yang lebih mampu milik.

Untuk pelancaran awal, Meta menawarkan tiga pilihan rekaan bingkai. Model Adventurer hadir dengan rekaan segi empat standard dalam dua saiz manakala Fury menggunakan binaan yang lebih tebal dan berat. Kedua-duanya bermula pada harga AS$299 (~RM1,238). Sementara itu, model Starfire dibangunkan dengan kerjasama Kylie Jenner dan tampil dengan reka bentuk bujur yang lebih nipis.

Model ini dijual pada harga AS$399 (~RM1,653). Secara keseluruhan, Meta menawarkan 26 konfigurasi merangkumi pilihan warna seperti hitam, hijau dan tortoiseshell serta beberapa jenis lensa termasuk lensa preskripsi, polarized dan photochromic. Daripada segi rekaan, Meta menambah pad hidung boleh laras tiga arah untuk meningkatkan keselesaan penggunaan.

Meta juga mengekalkan pendekatan yang sama seperti platform cermin mata pintarnya sebelum ini dengan tiada paparan terbina dalam pada lensa. Sebaliknya, peranti ini menggunakan gabungan kamera, pembesar suara terbuka dan sistem mikrofon berbilang untuk fungsi panggilan, pengurangan bunyi angin dan kawalan suara.

Meta turut melengkapkan Meta Glasses dengan Muse Spark, model AI multimodal baharu yang membolehkan pengguna bertanya tentang objek yang sedang dilihat, melakukan terjemahan masa nyata yang kini menyokong tambahan 14 bahasa baharu serta menangkap gambar dan video secara bebas tangan.

Bateri pula dikatakan mampu bertahan sehingga lapan jam penggunaan berterusan manakala bekas pengecas boleh dilipat menyediakan tambahan sehingga 40 jam penggunaan. Meta mengesahkan fungsi navigasi pejalan kaki berasaskan audio secara turn-by-turn akan diperkenalkan dalam kemas kini akan datang.

Meta Glasses kini mula dijual menerusi laman rasmi Meta, Amazon, Best Buy serta beberapa peruncit kaca mata terpilih. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Meta

Exit mobile version