Meta Malaysia hari ini telah mengumumkan pelancarkan program #JomCelikDigital Dengan Meta iaitu sebuah inisiatif yang bertujuan untuk tingkatkan kemahiran digital di kalangan rakyat.
Inisiatif ini terdiri daripada empat program peningkatan kemahiran digital yang difokuskan terhadap pelajar, pencari pekerjaan, perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemilik perniagaan mikro. Empat program tersebut adalah Meta Boost, Pasar WhatsApp, Instagram Academy dan Facebokk Blueprint Higher Education Program.
Program Meta Boost bertujuan untuk membawa bengkel pendidikan percuma bagi memperkasa lebih 1,000 PKS di seluruh negara yang terjejas akibat wabak COVID-19. Ia akan mengajar kemahiran digital yang boleh membantu mereka meningkatkan keterlibatan (engangement) dengan berkesan.
Pasar WhatsApp pula akan memperkenalkan pelbagai ciri aplikasi WhatsApp Business untuk mendigitalkan perniagaan PKS secara mudah. Peserta akan diperkenalkan dengan pelbagai fungsi seperti Catalog, balasan automatik dan cara membina profil perniagaan melalui aplikasi pemesejan itu.
Instagram Academy akan membantu lebih 1,000 usahawan dan PKS tempatan dalam meluaskan interaksi mereka dengan pelanggan dan masyarakat. Ini termasuklah menggunakan cara yang menghasilkan penglibatan lebih tinggi, seperti menerbitkan video dalam Reels.
Buat para pelajar, Facebook Blueprint Higher Education Program akan melengkapkan lebih 1,000 pelajar dengan kemahiran pemasaran digital. Bengkel ini akan dikendalikan oleh Blueprint Certified Lead Trainers manakala mereka yang telah menamatkan program layak menjadi Meta Certified Digital Marketing Associate.
#JomCelikDigital Dengan Meta akan dilaksanakan secara berterusan bermula 14 April 2022 dan ia turut mendapat sokongan daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Anda boleh layari laman web Meta Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

