Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini mengecam tindakan Meta menghapuskan laporan berita mengenai pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin tertinggi Hamas di Qatar dalam beberapa platform media tempatan.
Sehubungan itu, kerajaan telah meminta penjelasan daripada Meta mengenai perkara tersebut. Seperti yang dilaporkan Bernama, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menghantar surat kepada Meta untuk mendapatkan penjelasan.
Menteri Komunikasi itu menambah, 2 organisasi media melaporkan siaran mereka mengenai pertemuan Anwar di akaun media sosial telah dialih keluar manakala satu lagi melaporkan bahawa akaun Facebooknya telah dipadamkan.
Mengecam tindakan Meta tersebut, Fahmi menegaskan bahawa kiriman itu adalah mengenai pertemuan dengan sayap politik Hamas dan bukannya sayap militan atau tentera. Beliau sendiri akan menghantar surat kepada Meta untuk mendapatkan penjelasan.
Tambahannya lagi, Meta tidak menghormati kebebasan media dengan langkah yang ditunjukkan. Beritahu pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Bernama

