MG Motor Malaysia secara rasmi telah melancarkan MGS5 EV versi pemasangan tempatan (CKD) yang menandakan fasa baharu strategi lokalisasi mereka di Malaysia. Ia akan dipasang di fasiliti Melaka susulan pengeluaran pertama pada Mac lalu dengan kerjasama EP Manufacturing Berhad. Berbanding versi import (CBU), varian CKD hadir dengan peningkatan prestasi kepada 151kW dan 350Nm tork.
Ia menggunakan platform elektrik pacuan roda belakang (RWD) dengan jarak pemanduan sehingga 446km (WLTP). Untuk pengecasan, MGS5 EV menyokong DC sehingga 150kW yang membolehkan bateri dicas daripada 10% ke 80% dalam sekitar 26 minit. Rekaan bateri ultra nipis mendatar membantu meningkatkan ruang kabin, merendahkan pusat graviti dan menambah kestabilan pemanduan.
Varian utama iaitu MGS5 EV LUX Long Range dilengkapi ciri tambahan termasuk tempat duduk berpengudaraan, pelarasan kuasa untuk penumpang hadapan dan pintu but elektrik tanpa sentuhan. Aspek keselamatan merangkumi 7 beg udara dan sistem bantuan pemandu ADAS 2.5 seperti Traffic Jam Assist dan Intelligent Cruise Control.
Model ini turut menerima penarafan 5 bintang daripada Euro NCAP dan ASEAN NCAP. Pek bateri dilindungi selama 8 tahun atau 180,000km manakala unit kawalan motor sehingga 8 tahun atau 160,000km. Harga bagi varian LUX Long Range bermula dari RM116,900 dengan promosi pelancaran sehingga RM9,000.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

