Site icon TechNave BM

Microsoft akan lancarkan versi Windows baru pada 24 Jun

Sistem operasi komputer peribadi (PC) Windows 10 merupakan sistem yang sangat popular sejak pengenalannya pada bulan Julai 2015. Kini syarikat pembina sistem operasi tersebut, Microsoft, bakal melancarkan versi Windows serba baharu pada hari Khamis, 24 Jun jam 11:00 pagi ET (11:00 malam waktu Malaysia).

Perkara tersebut telah pun disahkan oleh Yusuf Mehdi iaitu naib presiden korporat Modern Life, Search & Devices Group di Microsoft. Microsoft bakal menganjurkan sebuah pelancaran pada 24 Jun dan Mehdi menuliskan dalam satu ciapan bahawa Microsoft bakal melancarkan sebuah versi baru untuk Windows.

Microsoft dilaporkan sudah pun mengedarkan jemputan untuk pelancaran tersebut yang bakal diacarakan oleh CEO Satya Nadella dan CPO Panos Panay.

Masih tidak pasti apakah nama sistem operasi yang bakal dilancar, namun ia dikhabarkan mempunyai nama Windows 11 memandangkan ia akan dilancar pada jam 11:00 pagi, selain nombor 11 merupakan sambungan yang logik kepada nombor 10.

Sebelum ini, Windows 10 merupakan kemas kini yang diberikan secara percuma kepada semua pengguna Windows 7 dan versi sebelumnya. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version