Site icon TechNave BM

Microsoft akan tubuhkan pusat data serantau di Malaysia, wujudkan 19,000 pekerjaan

Microsoft telah mengumumkan bahawa mereka akan membina sebuah pusat data serantau yang pertama di Malaysia, dengan tahap keselamatan dan privasi bertaraf dunia. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Microsoft Bersama Malaysia yang diusahakan bersama kerajaan untuk lima tahun akan datang dan bernilai hampir USD1 bilion (~RM4 bilion).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan penubuhan pusat data itu akan mewujudkan 19,000 peluang pekerjaan baharu serta menjana pendapatan sehingga USD4.6 bilion (~RM19 bilion) kepada negara. Microsoft juga akan membantu memperkasakan sejuta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital menjelang 2023.

Microsoft juga menubuhkan kerjasama dengan organisasi tempatan seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Petronas, Celcom dan Grab. Kerjasama ini adalah selari dengan inisiatif MyDigital yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Februari lalu untuk meningkatkan kemahiran digital di kalangan rakyat.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Edge

Exit mobile version