Site icon TechNave BM

Microsoft, Google & Facebook berunding dengan PM untuk benarkan kapal asing baiki kabel internet bawah laut

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan telah membatalkan kebenaran khas kepada kapal asing untuk membaiki kabel internet bawah laut yang berada dalam perairan Malaysia. Kini beberapa syarikat teknologi besar termasuk Microsoft, Google dan Facebook akan berunding dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menarik semula keputusan tersebut.

Mereka telah menghantar sebuah memorandum bertarikh 20 November kepada Tan Sri Muhyiddin yang mengatakan keputusan ini mampu menjejaskan ekonomi negara dengan teruk, terutamnya dalam situasi sekarang yang amat bergantung pada kestabilan infratruktur internet. Jike keputusan tersebut diteruskan, sebarang kerja penyelenggaraan hanya akan boleh dilaksanakan oleh satu syarikat kapal tempatan yang mempunyai satu sahaja kapal pembaikian kabel.

Kini kapal asing yang ingin membuat kerja-kerja pembaikian kabel bawah laut perlu memohon lesen pengecualian perkapalan domestik (DSLE), dan syarikat-syarikat teknologi menegaskan ini boleh mengambil masa yang lama. Mereka mengatakan purata masa pembaikian untuk kabel bawah laut adalah 27 hari untuk Malaysia, lebih panjang daripada 20 hari di Filipina, 19 hari di Singapura dan 12 hari di Vietnam. Jika DSLE tidak diperlukan, masa pembaikian boleh dipendekkan daripada 27 hari ke 14 hari.

Memandangkan Malaysia merancang untuk menarik lebih banyak pelaburan luar bagi menjadi pusat data global, keputusan terbaru oleh kerajaan ini mungkin akan menyukarkan negara untuk menarik pelaburan. Syarikat-syarikat teknologi dan Malaysia Internet Exchange (MyIX) telah pun menghantar memorandum berkenaan isu ini kepada Tan Sri Muhyiddin serta 11 lagi menteri.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Malaysiakini

Exit mobile version